Tuesday, November 8, 2011

DOKTOR; utk amir.


Amir, i found dat dis article is very interesting and informative for u. Do read it when u got ur internet connection. Sarang-hae~~

Kerjaya doktor perubatan merupakan pekerjaan yang sangat mulia di sisi agama Islam. Setiap hari mereka mempunyai peluang untuk melakukan kebajikan dengan membantu manusia lain yang mempunyai masalah kesihatan. Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa', ayat ke-40 yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarah, dan jika ada kebajikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar."
Ikuti temubual pertama tim iluvislam.com untuk segmen terbaru di iluvislam.com : Jejak Kerjaya. InsyaAllah melalui segmen ini, kami akan menemubual pelbagai individu yang telah berjaya dalam berbagai-bagai kerjaya masing-masing untuk dijadikan sumber inspirasi anda.

Biodata Dr. Hakimin

Nama : Nur Hakimin Nordin
Kelulusan : Ijazah Perubatan University College Dublin (UCD) Ireland
Jawatan : Pegawai Perubatan
Tempoh Bekerja : 3 tahun
Ibu adalah inspirasi terbesar beliau.
Sumber motivasi beliau adalah tuntutan agama Islam supaya seorang Muslim itu menjadi seorang manusia yang terbaik dan menjadi contoh kepada yang lain. Islam juga menyeru umatnya untuk lakukan yang terbaik dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.


Ceritakan Tentang Kerja Yang Anda Lakukan Sekarang
Sebelum saya menjadi seorang pegawai perubatan, saya menjalani latihan 'housemanship' selama 2 tahun. Sepanjang tempoh 2 tahun tersebut, saya bekerja di 6 jabatan berbeza - 4 bulan untuk setiap jabatan.
Setiap jabatan mempunyai persekitaran, ketua, cabaran dan pengalaman yang berbeza. Contohnya, cabaran semasa bertugas di Jabatan Pembedahan tentulah berbeza jika dibandingkan dengan cabaran ketika bekerja di Jabatan Kecemasan.
Rutin harian juga berbeza bagi setiap jabatan. Secara umumnya, setiap hari saya akan berjumpa dengan pesakit di ward ('ward round') bersama rakan doktor lain. Dari situ, saya akan mengetahui perkembangan keadaan kesihatan pesakit.
Kemudian saya akan berbincang dengan rakan-rakan lain untuk mengetahui apa langkah seterusnya bagi pesakit berkenaan.
Mengapa Anda Tertarik Dengan Kerjaya Ini?
Dalam keluarga saya, tiada lagi seorang pun yang menjadi doktor. Jadi, saya mengambil cabaran ini dan berusaha menjadi contoh kepada ahli keluarga yang lain.
Menjadi seorang doktor memberikan saya peluang untuk membantu orang lain setiap hari.
Saya suka berkomunikasi dengan orang lain. Kerjaya ini memberikan saya peluang untuk berkomunikasi dengan macam-macam orang.
Selain itu, bagi saya, kerjaya doktor adalah suatu kerjaya yang mencabar kerana kami berhadapan dengan nyawa manusia lain. Jadi, saya sangat sukakan cabaran tersebut.
Bagaimana Anda Tahu Ia Adalah Kerjaya Terbaik Untuk Anda?
Pada pandangan saya, segala yang berlaku adalah yang terbaik daripada Allah SWT untuk kita.
Samada ia yang terbaik atau tidak, kita sendiri yang menentukannya.
Setiap jabatan yang saya pergi, saya akan berusaha sehabis baik untuk suka atau cinta dengan apa yang saya lakukan.
Indahnya Islam, setiap pekerjaan yang kita lakukan adalah ibadah. Maka, saya yakin bahawa apa yang saya lakukan, segalanya ada nilai dan makna di sisi Allah SWT.
Bagaimana Anda Mendapatkan Pekerjaan Ini?
Saya telah ditawarkan oleh kerajaan untuk membuat kursus persediaan ke luar negara di Kolej Mara Banting selepas tamat peperiksaan SPM. Selepas 2 tahun di sana, saya menyambung pelajaran di University College Dublin selama 5 tahun.
Selepas tamat pengajian, wakil daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) datang ke Ireland untuk 'interview' graduan perubatan di sana.
Biasanya semua lulusan perubatan akan mendapat pekerjaan jika mereka membuat keputusan untuk berkhidmat di tanah air.
Pengalaman Yang Paling Menyeronokkan Tentang Kerjaya Anda?
Pastinya kepuasan apabila seseorang yang sakit menjadi sihat apabila kita merawat mereka. Saya merasa bahagia apabila dapat membuat perubahan dalam hidup mereka. Keceriaan wajah mereka setelah sihat memberikan saya kekuatan untuk terus berbakti. Bukan itu sahaja, selalunya ahli keluarga pesakit juga akan ceria dan seronok setelah mengetahui yang ahli keluarga mereka telah pulih.
Pengalaman Yang Paling Menyedihkan Tentang Kerjaya Anda?
Apabila melihat pesakit yang kita rawat meninggal dunia.
Bersedialah Untuk...
1. Menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang berbeza dengan persekitaran semasa kita belajar di universiti. Kebanyakan doktor baru akan mengalami 'culture shock.' Maka mereka perlulah bersedia untuk menempuhi dunia yang sebenar.
2. Di hospital, seorang doktor akan bekerja dengan pelbagai orang. Antaranya adalah jururawat, doktor senior, doktor pakar, paramedik dan sebagainya. Jadi, kemahiran bekerja dalam kumpulan sangat penting bagi memmastikan kelancaran tugas dan juga keseronokan dalam melaksanakan tanggungjawab.
3. Setiap hari doktor akan berhadapan dengan ramai pesakit. Karenah mereka pastinya berbeza-beza. Kesabaran dan kebijaksanaan amat diperlukan.
4. Apabila kita telah bekerja dan mempunyai keluarga sendiri, pengurusan masa yang baik adalah kunci kepada kehidupan yang seimbang. Uruskan masa sebaiknya agar kejayaan dalam kerjaya dan kehidupan berkeluarga dapat dilakar dalam hidup kita.

Dr. Hakimin ketika upacara graduasi bersama Dr. Hugh Brady, Presiden UCD
Sedikit Nasihat
Kepuasan memberikan khidmat kepada rakyat Malaysia adalah kepuasan yang tiada tolok bandingnya. Sebahagian rakan saya lebih suka berkhidmat di luar negara selepas graduasi, namun bagi saya, berkhidmat di negara sendiri pastinya yang terbaik.
Apa sahaja pekerjaan yang kita lakukan, kita mesti 'enjoy' dan 'sayang'kan amanah tersebut. Setiap orang mungkin mempunyai cara masing-masing untuk menjadikan kerjaya mereka sesuatu yang menyeronokkan. Jadi, 'find your own way'.
Dalam Islam, pekerjaan adalah ibadah. JIka ia dilakukan dengan ikhlas, kita bukan sahaja mendapat ganjaran di dunia, malah juga di akhirat. Kita perlu sentiasa pastikan jiwa ikhlas setiap saat.
Jika Hari Ini Anda Bukan Seorang Doktor, Apakah Kerjaya Anda?
Chef! ^_^ Saya suka masak!



- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment